Latest News

Menjenguk Adat, Budaya & Sejarah Negeri Sembilan


Destinasi percutian pilihan GUA kali ini ialah sekitar Negeri Sembilan, negeri yang terkenal dengan Adat Perpatih. Selalunya kalau ingin ke negeri ini, pasti Port Dickson yang menjadi pilihan utama. Sebab itu apabila hujung minggu, pantai peranginan ini sesak dengan pengunjung. Hotel dan resort juga penuh.

Sebab itulah, GUA hendak sarankan beberapa tempat menarik lain. Negeri Sembilan bukan hanya ada Port Dickson, tetapi masih banyak lagi produk pelancongannya yang tidak kurang hebatnya. Sekiranya anda inginkan percutian bajet, Seremban adalah destinasi ideal. Perjalanan ke sini hanya mengambil masa kira-kira satu jam dan caj tol yang dikenakan cuma RM14.20 untuk pergi dan balik (dari Sg.Besi ke Seremban).

Apa yang ada di Seremban? Pasti persoalan itu yang bermain di fikiran anda. Tempat-tempat menarik berikut memang bukan tempat berhibur atau tempat untuk membelanjakan wang, tetapi ia memberi peluang kepada anda untuk mengenali sejarah, budaya dan adat Negeri Sembilan. Banyak pengetahuan yang bakal anda perolehi. Sesekali tiada salahnya bercuti ke tempat-tempat yang mampu memberi ilmu. Jom! jenguk apa yang ada di Seremban.

1. Muzium Negeri Taman Seni Budaya
Muzium Negeri ini boleh dijadikan perhentian pertama anda sebaik sahaja tiba di Seremban. Tidak sukar mencari muzium ini kerana ia merupakan sebuah bangunan yang menonjolkan ciri-ciri Minangkabau. Bumbungnya kelihatan seperti tanduk kerbau. Bangunan muzium yang dikenali sebagai Teratak Perpatih ini terletak di Jalan Sungai Ujong. Dengan mengunjungi muzium ini, anda akan lebih jelas tentang corak pemerintahan Beraja di Negeri Sembilan. Ia unik kerana satu-satunya negeri yang mengamalkan Adat Perpatih. Antara tarikan utama muzium ini ialah Galeri Setem dan Filateli, Galeri Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah Negeri Sembilan, Rumah Contoh Negeri Sembilan dan Pameran Pra-Sejarah.






Tidak jauh daripada bangunan muzium ini terletak Istana Ampang Tinggi yang dahulunya merupakan istana yang digunakan oleh Tunku Cindai, anakanda kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-5, iaitu Yamtuan Ulin. Jangan lepaskan peluang menjenguk istana ini kerana ia cukup unik dan mempunyai ciri-ciri binaan Minangkabau. Selain itu, istana kayu ini juga terdiri daripada beberapa panel berukir halus dan sepasang pintu gelengsar berat yang tidak boleh ditemui di sebarang tempat di Semenanjung Malaysia pada masa ini.


Selain boleh dikunjungi, istana lama ini juga boleh dijadikan tempat untuk jamuan makan. Pengunjung yang datang secara berkumpulan boleh meminta pihak muzium menyediakan jamuan makan di istana ini dengan menghidangkan masakan tradisi Negeri Sembilan seperti Masak Lomak Cili Api dan Gulai Tempoyak. Bagaimanapun, jamuan seperti ini hanya boleh diadakan jika ia dibincang lebih awal. Sebarang pertanyaan anda boleh menghubungi talian 06-7631149.


2. Komplek Kraf Negeri Sembilan
Terletak di Jalan Datuk Abdul Kadir, pusat kraftangan ini menempatkan pelbagai hasil kraftangan dari seluruh Negeri Sembilan. Ia dibina bagi memelihara kekayaan budaya dan warisan masyarakat Negeri Sembilan. Jika anda ingin mendapatkan cenderahati untuk di bawa pulang, hasil kraftangan yang dipamerkan di sini turut dijual kepada yang berminat.

Pembukaan cawangan keenam Karyaneka Kraf Boutique di kompleks tersebut turut menyumbang kepada kepelbagaian pilihan kraf Malaysia untuk jualan. Antara produk yang terdapat di komplek ini ialah koleksi batik, pelbagai produk rotan, kraf kayu, barangan seramik dan barangan kristal. Semua produk ini di sini dijual pada harga yang berpatutan dan kebanyakan kraftangan di sini dibuat di pusat inkubator dan latihan usahawan kraftangan Kuala Pilah.

Komplek Kraf Negeri Sembilan dibuka pada setiap hari dari jam 9 pagi hingga 6 petang.


3. Muzium Diraja Seri Menanti
Destasi ketiga ini bukanlah terletak di Seremban, tetapi anda harus teruskan perjalanan anda ke Kuala Pilah yang mengambil masa kira-kira 40 minit memandu. Muzium yang ditempatkan di Istana Lama Seri Menanti ini mesti dilawati kerana ia adalah istana unik yang diperbuat daripada kayu tanpa menggunakan paku oleh dua tukang Melayu yang bernama Kahar dan Taib.

Istana ini mempunyai 99 batang tiang termasuk empat batang tiang seri yang panjangnya 67 kaki. Keempat-empat tiang ini telah diambil dari Bukit Pergai, Jelebu. Kayu-kayu lain diambil dari Bukit Tinggi iaitu dari jenis kayu penak. Istana ini merupakan mercu tanda bukan sahaja kerana kehalusan kerja pembuatannya tetapi juga kerana nilai sejarahnya. Siap dibina pada tahun 1908, ia menjadi tempat bersemayam Yamtuan Besar Negeri Sembilan hingga awal 30-an.




Istana ini telah digunakan untuk upacara mengadap yang diadakan tiga tahun sekali. Pada tahun 1926, Pesuruhjaya Tinggi, Sir Lawrence Gullmard telah turut hadir dalam upacara tersebut. Pernah digunakan oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan untuk dijadikan Sekolah Menengah Agama Tinggi pada tahun 1959 sehingga tahun 1964. Kemudian istana ini dibiarkan kosong tanpa penghuni sehingga tahun 1992. Pada 14 Julai 1992, istana ini telah dirasmikan sebagai Muzium Diraja oleh DYMM Tuanku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman.




Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti mempamerkan koleksi-koleksi keluarga Diraja. Setiap ruang telah diisi tanpa mengubah bentuk asal istana bagi menerangkan fungsi ruang-ruang tersebut.

Untuk keterangan lanjut tentang tempat-tempat menarik di Negeri Sembilan anda boleh menghubungi Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Sembilan di talian 06-7659870.

No comments:

Post a Comment

Click HERE

Berita Sensasi Designed by Templateism.com Copyright © 2014

Template images by Bim. Powered by Blogger.