Latest News

Taufik Batisah: Saya Bukan Player


Itu pengakuan daripada Taufik Batisah apabila diminta mengulas tentang pandangan sesetengah pihak yang mengatakan dia seorang player kerana sering keluar dengan ramai wanita.

“Saya memang ada ramai kawan perempuan, mungkin sebab itu orang salah sangka dan ingat saya ini seorang ‘player’. Tidak bermakna setiap kali saya keluar dengan mana-mana perempuan, dia adalah teman istimewa saya. Saya hanya anggap mereka sebagai kawan. Buat masa sekarang, saya masih lagi tidak mempunyai teman wanita. Tetapi, saya ada kawan rapat wanita,” jelas Taufik yang turut menafikan dia menyembunyikan teman wanitanya kerana ingin menjaga perasaan peminat yang ‘tergila-gilakannya’.

Menyingkap kisah cintanya yang lalu, rupa-rupanya juara Singapore Idol yang pertama ini pernah menjalin kasih dengan seseorang ketika menuntut di politeknik dahulu. Cinta pertamanya itu terputus di tengah jalan dan kenangan bersama bekas kekasihnya itu diabadikan dalam lagu “Usah Lepaskan: yang dimuatkan dalam albumnya yang terdahulu, ‘Teman Istimewa’.

Beralih kepada kerjaya seni penyanyi yang dinobatkan sebagai Artis Singapura Paling Popular di Anugerah Planet Muzik 2009 baru-baru ini, Taufik kini muncul dengan album terbaru yang berjudul ‘Suria Hatiku’.

Album yang memuatkan 10 buah lagu ini telah pun berada di pasaran Malaysia bermula 4 Mei lalu dan ia merupakan kolaborasi pertama Taufik dengan Suria Records sebagai syarikat rakaman yang bertanggungjawab mengedarkan albumnya di sini.

Apa istimewanya album ini? Menurut Taufik yang ditemui ketika majlis pelancaran albumnya di Reb Box Ria, Sogo Kuala Lumpur kelmarin, albumnya kali ini lebih matang dan lebih menonjolkan siapa dirinya. Dia juga cukup puas hati dengan pembikinan album ini kerana sebagai seorang komposer dan penerbit, Taufik telah menghabiskan banyak masa bersama jurutera bunyi untuk memperkemaskan bunyi, alatan muzik dan ‘mixing’ lagu di dalam album ini.

Selain itu, Taufik juga berasa cukup bangga kerana album ini telah memberi peluang kepadanya untuk bekerjasama dengan komposer tersohor, M. Nasir.


“Saya sangat seronok kerana M. Nasir setuju untuk menyumbang dua buah lagu untuk album ini. Orang kata, bukan mudah untuk dapatkan M. Nasir, tetapi saya bernasib baik kerana kebetulan kawan saya mengenali M. Nasir secara dekat. Dia yang sampaikan hasrat saya, dan pelawaan saya itu disambut baik oleh M. Nasir. Dua lagu ciptaan M. Nasir dalam album ini ialah “Hey” dan “Citra Suria”. Kedua-dua lagu ini berirama ballad dan saya sangat sukakannya,” jelas Taufik.

Diminta berkongsi pengalaman bekerjasama dengan M. Nasir, Taufik memberitahu yang dia tidak menghadapi sebarang masalah ketika proses rakaman kedua-dua lagu ciptaan M. Nasir.

“Memang pada mulanya saya agak tertekan juga untuk membawakan lagu ciptaan M. Nasir ini. Maklumlah, hendak menyanyikan lagu yang dicipta oleh seorang komposer hebat. Tetapi nasib baik, selepas masuk studio saya boleh menyanyikan lagu ini dengan baik dan M. Nasir juga berpuas hati. Satu perkara yang saya perasan tentang M. Nasir ialah dia seorang yang sangat teliti dalam kerja. Kalau ada apa-apa yang dia tidak puas hati, dia akan beritahu dan dalam masa yang sama dia akan beri tunjuk-ajar. Jadi, senanglah bekerja dengan dia,” tambah Taufik lagi.

Sementara itu, Taufik turut ditanya mengapa dia masih ingin lakukan semua dengan sendiri untuk albumnya itu. Maklumlah, daripada album pertamanya dahulu lagi dia masih memainkan peranan sebagai komposer dan penerbit. Adakah Taufik tidak percaya dengan orang lain?

“Bukan saya tidak percaya dengan orang lain, tetapi saya suka lakukan semuanya dengan sendiri. Itu memberikan saya lebih kepuasan. Saya seorang yang suka mencuba sesuatu yang baru. I want to explore everything. Kalau boleh saya tidak mahu hanya boleh menyanyi dan menari sahaja, saya mahu tahu tentang segala-galanya. Sebab itu saya rela bertungkus-lumus dalam semua pembikinan album saya. Tetapi saya tidak kata saya ini bagus. Masih banyak yang perlu saya pelajari memandangkan perjalanan saya masih jauh.”

Peminat juga akan dihiburkan dengan sebuah duet di dalam albumnya bersama rakan baik Hady Mirza menerusi lagu “Kepadanya”. Lagu ini digubah dan ditulis oleh Taufik sendiri. Lain-lain lagu yang terdapat di dalam ‘Suria Hatiku’ ialah “Gadis Itu”, “Petua”, “Kau dan Dia”, “Tiada Dua” dan “Khayalan”.

Bercinta dengan Ezlynn?
Kehadiran Ezlynn ketika majlis pelancaran album Taufik kelmarin telah menarik perhatian pihak media. Walaupun masing-masing hanya mengaku sebagai kawan, tetapi baik Ezlynn mahupun Taufik masing-masing menyatakan mereka tidak akan menolak sekiranya ada jodoh bersama.

“Saya sebenarnya belum begitu mengenali Ezlynn, tetapi secara fizikalnya, saya nampak dia seorang yang manis dan happy-go-lucky. Itu antara ciri-ciri gadis idaman saya. Tetapi saya tidak mahu komen lebih lanjut. Ezlynn adalah kawan saya. Dia hadir hari ini kerana memberi sokongan kepada karier saya. Bukan atas sebab lain.”

No comments:

Post a Comment

Berita or News Designed by Copyright © 2014

Theme images by blue_baron. Powered by Blogger.