Latest News

Forever Young!

http://www.gua.com.my/photobank/article/2/10/B55D8001AD904B37A3B2A23B9B98476E.jpg
“Alamak! Banyaknya kedutan di wajah, lebih-lebih lagi di sekitar mata. Apa aku hendak buat ni? Takut nanti, ada pula yang kata aku ni dah berusia. Eeee! Takutlah. Aku tak nak nampak tua. Kalau boleh biarlah nampak muda selamanya!”

Itu kata-kata yang bermain di fikiran Tasha, setiap kali dia membelek-belek wajahnya di hadapan cermin. Perkataan ‘tua’ memang digeruni ramai wanita. Maklumlah, apabila usia meningkat, banyak perubahan fizikal yang akan berlaku.

Salah satu masalah yang menjadi musuh utama golongan wanita ialah kedutan yang mula timbul di wajah akibat faktor penuaan. Padahal, sebenarnya kedutan atau garisan-garisan halus bukan hanya boleh di lihat di wajah, tetapi juga kulit bahagian tubuh yang lain.

Hrm... jangan cepat melatah. Masih ada cara untuk memiliki kulit yang sihat dan muda remaja. Cuba lihat maklumat di bawah dan praktikkan mulai hari ini.



Jangan lupa pakai pelembap/ losyen
Memiliki kulit yang halus, anjal dan sihat sebenarnya bukanlah perkara yang tidak mungkin, asalkan anda melakukan rawatan sejak awal lagi. Salah satunya adalah dengan rajin memakai pelembap setiap kali selesai mandi dan setiap kali kulit terasa kering.

Ini merupakan perkara asas. Jangan sesekali mengabaikannya. Anda perlu tahu, kelembapan kulit di tubuh badan dan di wajah adalah berbeza. Wajah memiliki kelenjar-kelenjar yang menghasilkan lebih banyak minyak berbanding kulit di bahagian tubuh badan.

Tubuh sebenarnya mempunyai kelembapan semulajadi, tetapi kelembapan itu ‘terhapus’ setiap hari ketika sedang mandi. Ini berlaku kerana bahan-bahan yang terkandung di dalam sabun membuatkan kulit menjadi kering. Lebih-lebih lagi jika anda mandi menggunakan span mandian yang diperbuat daripada plastik atau getah.

Selain itu, pendedahan kepada cahaya matahari dan selalu berada di ruang berhawa dingin juga antara faktor yang menjadi punca hilangnya kadar kelembapan semulajadi kulit. Jika kulit tubuh selalu dibiarkan tanpa pelembap yang baik, lama-kelamaan kulit akan kendur, kering dan kusam.

Jangan lupa bersenam
Senaman bukan sahaja boleh membuat tubuh ‘fit’ tetapi ia juga memperbaiki sistem peredaran darah. Apabila sistem peredaran darah semakin bagus secara automatik kulit akan mendapat cukup nutrisi. Senaman juga menarik otot-otot kulit sehingga ia tidak kendur. Berjoging boleh memelihara keanjalan dan kecantikan kulit. Lakukan senaman sekurang-kurangnya dua kali seminggu selama satu jam.



Diet untuk kesihatan kulit
Selain daripada menggunakan produk perawatan kulit, faktor pemakanan juga memainkan peranan yang penting bagi memastikan kulit sentiasa sihat dan segar. Kulit wajah adalah cermin kepada pengambilan nutrisi anda. Pilihan makanan yang tepat boleh membuatkan anda kelihatan lebih cantik dan menarik.

* Diet agar kulit halus
Makanlah buah-buahan dan sayuran yang berwarna oren, merah atau hijau tua, seperti labu, lobak merah, sawi, tomato dan bayam setiap hari. Produk makanan yang berwarna ini diketahui mengandungi zat beta karotena, sejenis antioksidan yang dapat menghalang aktiviti sel radikal bebas yang merupakan penyebab kulit berkedut. Selain itu, beta karotena juga boleh merangsang DNA yang bertugas menghasilkan sel-sel kulit baru dan ini akan membuat kulit kelihatan lebih halus dan segar.

* Diet untuk memelihara keanjalan dan mencerahkan kulit

Pelbagai jenis oren, strawberi, lada benggala, serta brokoli adalah jenis buah-buahan dan sayuran yang memiliki kandungan vitamin C sangat tinggi. Di dalam tubuh, vitamin C mampu mengaktifkan ‘fibroblast’, sel pembuat kolagen. Semakin bagus kualiti kolagen di dalam tubuh badan, kulit juga akan menjadi semakin cerah dan anjal. Jumlah buah-buahan dan sayuran yang mengandungi vitamin C boleh diambil sebanyak yang anda inginkan setiap hari.

* Diet mencegah kerosakan kulit
Pakar pemakanan menyarankan supaya mengambil coklat, biji bunga matahari, serta teh hijau untuk kulit yang sihat. Biji bunga matahari mengandungi vitamin E yang bukan sahaja boleh mengatasi reaksi radikal bebas, tetapi ia juga berfungsi melindungi kulit dari molekul-molekul perosak luaran yang berasal dari pencemaran udara.

Coklat dan teh hijau mengandung poliphenol yang mampu melancarkan aliran darah di kulit. Menurut pakar pemakanan, 1.5 auns coklat mengandungi 800 mg antioksidan. Jumlah ini hampir menyamai kadar antioksidan yang terdapat dalam secawan teh hitam. Namun jumlah ideal pengambilan antioksidan pada setiap hari agar kulit sihat adalah 10 gram sahaja. Jika anda ingin mengambil teh hijau, disarankan supaya hanya mengambilnya secawan setiap hari. Makan kuaci biji bunga matahari sebagai makanan ringan.

No comments:

Post a Comment

Berita or News Designed by Copyright © 2014

Theme images by blue_baron. Powered by Blogger.