Latest News

Nur Fatima Diam-Diam Berisi


Dia mempunyai vokal yang mantap hingga pernah dinobatkan sebagai juara Golden Teen Search pada tahun 1999. Malah dia juga mempunyai wajah yang tidak kurang menarik jika dibandingkan dengan para selebriti lain.

Namun tuah ternyata masih belum menyebelahi Nur Fatima apabila kehadirannya di dalam industri seni tempatan dipandang sepi. Pernah popular seketika di awal tahun 2001 dengan lagu “Selendang Sutera”, penyanyi yang mula membabitkan diri dalam bidang nyanyian sejak berumur 17 tahun ini akhirnya menyepikan diri.

Berkesempatan bertemu dengan Nur Fatima baru-baru ini, ternyata penyepiannya bukan kerana merajuk atau membawa diri seperti yang diperkatakan. Sebaliknya dia mempersiapkan diri dengan ilmu muzik kerana mahu terus bertahan di dalam industri seni tempatan.

"Sekarang saya memang jarang menyanyi. Tetapi dalam satu bulan tu, ada juga tawaran untuk saya menyanyi. Malah baru-baru ini saya mendapat tawaran daripada sebuah syarikat rakaman yang mahu mengambil saya sebagai penyanyi mereka. Namun segala-galanya perlukan persediaan dan perancangan rapi.

"Saya bukan merajuk sebaliknya saya lebih senang dengan kerja-kerja belakang tabir dengan mencipta lagu atau menulis lirik. Sehingga kini saya telah menghasilkan lebih 70 buah lagu dan antara penyanyi yang pernah bekerjasama dengan saya ialah Sheila OIAM, Nikki, Jaclyn Victor, Aril AF7, Misha Omar dan Azyza.

"Memang ada juga terfikir mahu membuat lagu untuk diri sendiri tetapi bila ada kawan-kawan artis yang datang meminta lagu daripada saya, saya akan memberikannya kepada mereka kerana itu merupakan mata pencarian dan pekerjaan saya sekarang," jelasnya.

Penyanyi berkulit hitam manis ini juga menyatakan, dia kini lebih selesa dikenali sebagai pemuzik jika dibandingkan dengan penyanyi. Ini kerana sekarang dia agak jarang menyanyi dan kebanyakannya masanya dihabiskan di studio muzik untuk menghasilkan lagu atau menerbitkan lagu.

Untuk menjadi seorang pemuzik yang berjaya, Nur Fatima mendalami ilmu muzik di Ocean Institute of Audio Tehcnology yang terletak di Jalan Ipoh. Mengambil jurusan Kejuruteraan Audio, Nur Fatima menjelaskan dengan ilmu yang dimiliki dia kini lebih yakin untuk bergiat aktif dalam bidang tersebut.

"Untuk berjaya kita perlu rajin belajar. Selain belajar muzik, saya juga belajar bahasa Inggeris untuk memperbaiki serta menambah keyakinan diri. Ini kerana dengan kerjaya yang saya pilih, saya perlu berjumpa dengan ramai orang untuk mendapatkan 'job'," jelasnya tenang.

Diusik dengan pertanyaan adakah kegagalannya untuk menyerlah di persada seni Negara membuatkannya dia lebih selesa bekerja di belakang tabir, Nur Fatima segera menafikannya. Katanya kegagalan yang dilaluinya menjadikan dia lebih bersemangat untuk terus berjaya dan berkarya.

"Kalau saya putus asa, saya tak akan menceburi bidang seni lagi. Bila saya sambung belajar dalam bidang muzik, itu bermakna saya memang mahu terus berada di sini. Malah saya rasa bertuah dengan kegagalan yang pernah saya alami.

"Ini kerana jika saya tak gagal, tak mungkin saya akan sambung belajar dan mampu menghasilkan lagu seperti sekarang. Malah dalam keadaan kegagawatan ekonomi, jika penyanyi lain sedikit terjejas kerana mengharapkan 'show', saya sebagai komposer dan penulis lirik tidak terlalu merasainya.

"Saya beryukur dengan rezeki yang diberikan oleh Allah. Walaupun tidak terlalu mewah kalau dibandingkan dengan artis lain, tetapi saya selesa dan gembira kerana dapat hidup berdikari," ujarnya yang sebelum ini pernah bergelar pembaca berita di sebuah stesen TV tempatan.

Bercerita tentang kehidupan peribadinya, Nur Fatima yang kini berusia 27 tahun tidak menafikan sedang menjalinkan hubungan istimewa dengan seseorang. Bagaimanapun buat masa ini dia belum bersedia untuk mendedahkannya kerana perhubungan tersebut masih baru dan mereka dalam proses untuk mengenali hati budi masing-masing.

Namun Nur Fatima mengakui lelaki tersebut seorang yang memahami dan sentiasa memberikan sokongan dalam apa sahaja yang dilakukannya.

"Dia juga seorang pemuzik dan tidak kisah jika saya bergiat aktif dalam bidang ini. Kami telah berkawan hampir setahun dan berharap hubungan ini berjelan lancar," katanya yang sebelum ini pernah muncul dengan single pertama berjudul ‘Rindu’.

No comments:

Post a Comment

Berita or News Designed by Copyright © 2014

Theme images by blue_baron. Powered by Blogger.