Latest News

Black ‘Caras’ Keena Dan Thye


Usaha Mas Idayu mengetengahkan protégé lelaki nampaknya berbaloi apabila mereka berdua mendahului minggu pertama kumpulan B, Mentor 3 dengan markah keseluruhan 72.5. Malah dua juri professional, Fauzi Marzuki dan Edry Abdul Halim tidak teragak-agak memuji persembahan solo Black serta duetnya bersama Mas Idayu. Persembahan solo Black membawakan lagu “Manira” nyanyian Noraniza Idris harus diberi pujian kerana mampu mengawal nyanyian walau dalam masa yang sama terpaksa menari. Malah kesungguhan memberikan persembahan terbaik membuatkan anak muda yang bekerja sebagai penjual barang basah ini lupa sebentar akan kesakitan kaki yang dialaminya kerana terseliuh ketika menjalani latihan. “Saya nampak awak memang sesuai dan minat menyanyikan lagu Melayu. Saya enjoy menonton persembahan awak, begitu juga penonton yang ada di dewan. Walau bagaimanapun, dari segi suara awak yang kecil, perlu diperbaiki lagi pada masa akan datang,” antara komen yang diberikan Fauzi Marzuki kepada Black. Komen Fauzi Marzuki itu turut dipersetujui Edry. Persembahan kedua Black menyanyikan lagu dangdut, “Selangit” bersama mentornya, Mas Idayu walaupun menarik, terdapat kekurangan vokal. Malah ada ketikanya suara Black seakan hilang kawalan.

Keena korban rambut
Persembahan pembukaan Mentor 3 malam tadi dimulai oleh Keena dengan lagu “Bintang Kehidupan”. Sebagai protégé kepada Awie yang mahukan penyanyi rock wanita, Keena berjaya memukau penonton dengan gaya rock dan tariannya. Cara pemakaian Keena sememangnya ‘menang gaya’ namun, mungkin kerana kacamata hitam yang dipakainya tidak bersesuaian dengan bentuk muka menyebabkan persembahan gadis ini sedikit terganggu dek kerana kacamata hitamnya seringkali ‘tergelincir’. Malah, dia turut mengorbankan rambut kerinting yang menjadi identitinya sejak awal kemunculan dalam Mentor 3. Dia kini lebih selesa berambut lurus, pengorbanan sama turut dilakukan mentornya, Awie, yang kini berambut pendek. Walaupun mendapat kritikan Fauzi Marzuki dan Edry mengenai cara pemilihan lagu yang bersesuaian, itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berentap pada konsert akan datang. Persembahan duet Keena dan Awie mendendangkan lagu malar segar, “Seiring Sejalan” sedikit sebanyak memberi semangat kepada gadis ini yang pada awalnya agak kecewa kerana kurang mendapat bimbingan daripada Awie. Walaupun pada awalnya agak kecewa kerana mendapat undian paling sedikit daripada juri awam, namun kedukaan itu terubat apabila mereka mendapat tangga kedua dengan markah keseluruhan 48.9.

Thye salah pilih lagu
Salah pilih lagu dan terlalu ingin versatil menyebabkan anak muda Kota Belud, Thye mendapat kritikan hebat daripada juri profesional. “Saya ada masalah dengan jenis lagu yang ingin Thye nyanyikan. Pada konsert akan datang, cuba Thye pilih lagu yang sesuai dengan suara dan style kamu,” itu antara komen yang diberikan oleh Fauzi Marzuki. Walaupun persembahan pertamanya, “Lagu Gembira” bersama mentor, Adibah Noor memikat hati penonton, namun pemilihan lagu keduanya, “Melodrama”, lagu Inggeris yang diubah liriknya kepada bahasa Italy dan Melayu memberi impak kurang baik kepadanya. 14 markah yang diberi juri awam gagal memberikan tempat dua terbaik apabila Adibah dan Thye terpaksa menerima hakikat jumlah markah keselurahan hanyalah 45.0, kurang sedikit berbanding Awie dan protégénya Keena. Persembahan penutup menyaksikan ketiga-tiga protégé menyampaikan lagu “Situasi” nyanyian Bunkface. Untuk lagu ini Keena dilihat lebih menyerlah berbanding dua peserta lain.

Drama belakang pentas
Sejak pertama kali dipertontonkan, Mentor 3 diberi pembaharuan apabila segmen belakang pentas diwujudkan. Segmen yang dikendalikan Nas Ahmad itu terus mendapat perhatian dan sering menjadi bualan penonton. Sejak mula, ramai yang berpendapat segmen kendalian Nas Ahmad itu seakan-akan mengganggu perjalanan rancangan Mentor 3. Drama belakang pentas berulang lagi malam tadi apabila Awie dan Mas Idayu berbalah mengenai siapa paling hebat. Adegan itu walaupun sekadar suka-suka, sedikit sebanyak mengganggu dan merunsingkan penonton. Malah, insiden membaling botol dan kejar mengejar di belakang pentas dilihat kurang sesuai untuk tontonan umum.

No comments:

Post a Comment

Berita or News Designed by Copyright © 2014

Theme images by blue_baron. Powered by Blogger.