Latest News

Noor Khiriah Kini ‘Bertiga’


Noor Khiriah, 33, pelakon yang cukup berbakat ini nampaknya semakin mendapat tempat di kalangan peminat. Bakat lakonannya juga semakin mendapat perhatian ramai. Malah, bakatnya turut mendapat beberapa pengiktirafan dalam beberapa anugerah.

Terbaru, pelakon yang baru pulang daripada menunaikan umrah ini dinobatkan sebagai Pelakon Komedi Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH08) pada 12 April lalu.

Bagaimanapun, pada malam kemuncak itu Khiriah tidak menghadirkan diri untuk menerima anugerah tersebut. Ketidakhadirannya itu bukanlah disengajakan, tetapi ketika itu Khiriah tidak sihat dan doktor menasihatkan untuk berehat di rumah.

“Saya bukan sengaja tidak mahu hadir tetapi ketika itu saya memang tidak sihat. Doktor yang nasihatkan saya supaya berehat di rumah sahaja. Sedangkan segala persiapan untuk ke Genting Highlands telah pun saya siapkan. Memanglah terkilan kerana tidak dapat pergi, tetapi kandungan saya perlu diutamakan,” ujar pelakon ini sewaktu ditemui di majlis penyampaian hadiah ABPBH08 baru-baru ini.

Untuk pengetahuan semua, Khiriah kini sudah pun berbadan dua. Kandungannya berusia tiga bulan. Ini merupakan kehamilan kedua Khiriah. Sebelum ini dia pernah keguguran kira-kira dua tahun lalu.

Berbalik kepada kemenangannya itu, Khiriah sebenarnya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada peminat yang sudi mengundinya. Bagi Khiriah, kemenangannya itu membuktikan yang dia juga mempunyai peminat.

Mengulas tentang cakap-cakap sesetengah orang yang tidak berpuas hati dengan kemenangannya, Khiriah menggangapnya semua itu sebagai perkara biasa dan dia tidak berkecil hati.

“Saya tahu ada pihak yang mempertikaikan kemenangan saya itu, tapi saya tidak kisah. Anugerah itu berdasarkan pilihan peminat, dan peminat telah memilih saya. Saya sendiri tidak sangka yang saya akan menang. Ingatkan Ruminah Sidek atau Kencana Dewi. Mungkin sudah rezeki saya,” ujar Khiriah yang ingin merehatkan diri di awal kehamilannya itu.

Bercerita tentang pengalaman mengerjakan umrahnya baru-baru ini, Khiriah memberitahu sepanjang dia berada di tanah suci dia dapat melakukan semua ibadah yang diperlukan walaupun ketika itu kesihatannya tidak begitu mengizinkan kerana hamil.

“Saya bersyukur kerana walaupun tidak larat, tapi saya dapat lakukan semuanya. Tapi, selepas mengerjakan tawaf dan saie, saya terus rebah, Bagaimanapun, selepas berehat seketika, saya mampu bangun semula. Saya juga berasa cukup seronok kerana berkesempatan mencium Hajar Aswad.”

No comments:

Post a Comment

Berita or News Designed by Copyright © 2014

Theme images by blue_baron. Powered by Blogger.