Latest News

Maya Belajar Buat Lirik


Selepas mendirikan rumahtangga pada Ogos tahun lalu, aktres jelita Maya Karin bagaikan menyepi dari dunia hiburan tanahair. Sebaliknya dia sibuk dengan pelbagai kempen alam sekitar seperti kempen ‘Anti Beg Plastik’ dan ‘Kitar Semula’. Syabas! GUA ucapkan kepada Maya kerana sudi melibatkan diri dengan kempen-kempen kesedaran seperti ini. Rasanya ramai yang sudah tahu yang Maya ini memang seorang pencinta alam sekitar. Lihat saya tema majlis perkahwinannya dahulu. Diadakan di persekitaran menghijau dan setiap tetamu mendapat mentol lampu jimat tenaga sebagai cenderahati. Apa? Anda sudah rindu dengan lakonan Maya Karin? Memanglah, aktres ini memang sudah lama tidak beraksi di layar perak. Tetapi hujung tahun ini kerinduan anda pasti terubat kerana Maya akan muncul di pawagam dengan filem terbaru berjudul ‘Pisau Cukur’. Untuk filem ini Maya akan bergandingan dengan seorang lagi pelakon berbakat iaitu Fazura. Bagaimanapun, bukan itu yang ingin GUA ceritakan di sini. Sebaliknya, GUA hendak beritahu yang Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia 2008 ini akan hadir dengan album terbaru tidak lama lagi. Ini merupakan album ketiganya selepas ‘Erti Cinta’ pada tahun 2001 dan ‘Bukan Qalamaya’ pada 2004. Menurut Maya yang ditemui baru-baru ini, sekarang ini dia sedang sibuk membuat persiapan untuk album terbarunya itu. “Sekarang ini saya agak sibuk dengan persiapan album terbaru. Setakat ini saya sudah mempunyai lapan buah lagu yang digubah oleh Audi Mok. Tetapi lagu-lagu itu, saya belum pilih lagi. Saya tidak mahu tergesa-gesa dalam soal ini. Lagipun, saya tidak pernah meletakkan deadline untuk album ini. Jika tiada masalah, ia akan dilancarkan pada hujung tahun ini,” ujar Maya yang memilih konsep ‘pop eksperimental’ untuk album itu nanti. Maya juga mengakui yang dia kini sedang belajar menulis lirik, walaupun agak sukar bagi dirinya. Jelas Maya, kalau boleh biarlah ada dua atau tiga lagu yang liriknya ditulis olehnya sendiri. Selain mengandungi lagu berbahasa Melayu, album itu juga akan mempunyai beberapa buah lagu Inggeris. Menyentuh tentang kehidupan peribadi, sudah pasti ramai yang ingin tahu bila agaknya Maya ingin menimang cahaya mata. Persoalan itu memang sering diajukan oleh pihak media kepada Maya. Seperti selalu, Maya hanya akan tersenyum apabila soalan itu sampai ke telinganya. Selepas itu barulah dia memberi jawapan. Menurut Maya, buat masa terdekat ini dia belum merancang untuk mempunyai cahaya mata. Mungkin tahun hadapan.

No comments:

Post a Comment

Berita or News Designed by Copyright © 2014

Theme images by blue_baron. Powered by Blogger.