Latest News

Cinta 8 Tahun Zamarul-Diana


Hubungan cinta di antara pelakon Zamarul Hisham dan Diana Rafar memang telah lama diketahui umum. Apatah lagi percintaan yang terjalin memakan masa sehingga lapan tahun. Walaupun pelbagai spekulasi dan kontroversi menerjah cinta mereka, ternyata kekuatan cinta yang dimiliki Zamarul dan Diana cukup utuh. Kini keteguhan cinta di antara mereka diperkuatkan lagi dengan ikatan suci sebuah perkahwinan. Zamarul dan Diana, yang telahpun selamat bergelar suami isteri, ketika ditemui selepas majlis pernikahan mereka yang diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam semalam, mengakui bersyukur dan gembira dengan penyatuan tersebut. "Saya bersyukur dan gembira kerana akhirnya perhubungan kami disatukan dengan pernikahan. Habis sahaja majlis akad nikah tadi, saya rasa lega sangat. Saya berharap perkahwinan ini akan kekal selamanya dan kami berdua dapat menjadi pasangan suami isteri yang baik," ujar Zamarul yang tidak dapat menahan perasaan sebak sebaik sahaja acara akad nikah tersebut berakhir. Dalam perbualan itu juga, Zamarul yang kini berusia 38 tahun memberitahu, kursus motivasi yang mereka berdua hadiri sebelum ini telah membuka pintu hati mereka untuk mendirikan rumah tangga. Ini kerana selepas kursus tersebut berakhir, mereka menjadi lebih erat dan akhirnya mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga. "Tarikh 16 Mei ini sungguh bererti buat diri saya. Saya mengambil konsep 165 iaitu 1 Ehsan, 6 Rukin Iman dan 5 Rukun Islam. Itulah juga sebabnya saya memilih mas kahwin RM165 dan memberikan hantaran sebanyak RM16,500 kepada Diana. "Saya harap peminat akan mendoakan kebahagiaan kami dan setakat ini saya bangga kerana Diana bukan sahaja seorang wanita yang baik malah saya yakin dia mampu menjadi ibu yang baik kepada anak saya, Izzat Haiqal. Ini kerana selama ini pun anak saya bagaikan kawan baik kepada Diana. Walaupun anak saya baru berumur 10 tahun namun dia cukup matang," jelas Zamarul. Ditanya tentang penerimaan dua orang anaknya dengan bekas isterinya yang terdahulu, Izzat dan Iqmal Haiqal, 7, terhadap Diana dan perkahwinan tersebut, Zamarul mendedahkan tidak timbul sebarang masalah di antara Diana dan anak-anaknya. Malah anaknya sendiri yang mahu melihat mereka mendirikan rumah tangga dan selesa memanggil Diana dengan gelaran Mama. Sementara itu Diana yang kelihatan ceria di sisi Zamarul tidak lekang memanjatkan kesyukuran apabila majlis bersejarah mereka itu berjalan dengan lancar. Katanya dia telah bersedia memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri dan 'ibu segera' kepada Zamarul dan anak-anak mereka. "Selama lapan tahun kami bercinta, Zamarul seorang yang sangat mengambil berat dan saya selesa dengannya. Apa yang saya harapkan, selepas perkahwinan ini sikapnya itu tidak akan berubah," jelasnya yang kelihatan cukup anggun dan jelita pada majlis tersebut. Mengulas tentang status 'ibu segera' yang dipegangnya kini, Diana yang cukup popular dengan lagu “Hak Milik Kekal”, duet bersama kakaknya Linda Rafar memberitahu, dia telah bersedia tentang perkara tersebut. Katanya selama ini hubungannya dengan Izzat yang dipanggil 'Aboy' itu cukup rapat. Malah jika dia dan Zamarul mempunyai sebarang masalah, Aboylah yang akan menjadi 'jambatan' di antara mereka. "Sejak tahun pertama saya berkawan dengan Zamarul, dia sudah kenalkan saya dengan Aboy yang memang berada di bawah jagaan ibu Zamarul sendiri. Selain itu, wajah Aboy juga mirip dengan wajah anak-anak buah saya yang lain. Daripada situ timbulnya kasih sayang di antara kami," katanya. Bercerita tentang perancangan untuk berbulan madu, Diana dan Zamarul sepakat untuk mengerjakan umrah selepas ini. Namun katanya masa dan tarikh belum dapat dipastikan kerana dia masih terikat dengan beberapa projek drama yang perlu dijayakannya. Soal anak, mereka menyerahkannya kepada ketentuan takdir. Menurut Zamarul mereka tidak merancang dan kalau dikurniakan anak dalam masa terdekat, mereka menerimanya dengan hati terbuka. Apatah lagi kedua-dua anak lelakinya sebelum ini sudah besar dan sering bertanyakan kepadanya tentang 'adik baru' mereka. Mengimbau kembali majlis pernikahan mereka, pasangan tersebut telah dinikahkan sekitar pukul 10.30 pagi oleh Penolong Pendaftar Nikah Masjid Negeri, Khairuddin Haiyon yang mewakili wali pihak perempuan iaitu abang Diana, Airul Azmi Rafar. Pada majlis ringkas itu, Diana kelihatan anggun dengan busana rekaan Shahril Nordin menerima mas kahwin RM165, wang hantaran sebanyak RM16,500 serta tujuh dulang hantaran berbalas sembilan daripada pihaknya. Selain ahli keluarga, majlis bersejarah itu turut disaksikan oleh kira-kira 100 orang tetamu yang terdiri daripada saudara mara kedua-dua belah pihak serta rakan terdekat.

No comments:

Post a Comment

Berita or News Designed by Copyright © 2014

Theme images by blue_baron. Powered by Blogger.