Latest News

Heliza Takut Tengok Lakonan Sendiri


‘Syurga Cinta’ merupakan percubaan pertama Heliza Helmi untuk sebuah filem. Untuk filem ini dia bukan hanya memegang watak tempelan, tetapi dia merupakan heroin filem ini. Satu pencapaian yang boleh dibanggakan. Pasti ramai peminat Heliza di luar sana tidak sabar-sabar ingin melihat Heliza di layar perak. “Saya takut hendak tengok diri sendiri”, itu luahan rasa Heliza apabila diajukan soalan tentang perasaannya selepas pertama kali menyaksikan filem lakonannya itu. Maklumlah, ini kali pertama dia membintangi sebuah filem. Bukan setakat itu, dia juga digandingkan dengan seorang hero popular iaitu Awal Ashaari. Berkongsi cerita kepada wartawan baru-baru ini, Heliza yang juga merupakan mahasiswi Universiti Malaysia Sabah (UMS) ini memberitahu yang dia paling susah melakonkan babak-babak romantik. “Dalam banyak-banyak babak yang kena saya lakonkan, saya sukar melakonkan adegan romantik. Mungkin kerana saya tidak mempunyai pengalaman bercinta. Tetapi dengan tunjuk ajar yang diberikan oleh Ahmad Idham, saya berjaya melakukannya. Awal juga banyak memberi tunjuk ajar. Sebab itu saya selesa dan tidak menghadapi sebarang masalah ketika berlakon dengan dia,” ujar Heliza. Ditanya bagaimana dia mempersiapkan diri untuk filem ini, Heliza menjelaskan dia sebenarnya tidak cukup masa untuk melakukan pelbagai perkara dalam aktiviti hariannya ini. Bagaimanapun dia sudah cuba melakukan yang terbaik bagi menjayakan filem pertamanya itu. “Sebelum penggambaran filem ini bermula, saya ada menonton ‘Kiamat Sudah Dekat’ untuk dijadikan rujukan. Untuk menghafal skrip pula, saya buat nota-nota kecil untuk memudahkan saya mengingatinya. Kaedah yang sama untuk saya mengingati subjek-subjek pembelajaran saya di universiti. “Secara ringkasnya, saya memang ‘enjoy’ dengan penggambaran filem ini. Banyak perkara yang telah saya pelajari. Kini saya tahu antara menyanyi dan berlakon, ia merupakan perkara yang jauh berbeza. Saya suka dengan kedua-duanya dan saya harap selepas ini ada pihak yang sudi menawarkan watak yang sesuai untuk saya.” Menyentuh tentang pembelajarannya di universiti, rupa-rupanya tidak lama lagi Heliza akan memulakan latihan praktikal sebagai tenaga pengajar di Sekolah Menengah Perempuan Likas, Sabah bermula 15 Jun hadapan. Hrm.......pasti ramai pelajar sekolah yang mengerumuni Heliza nanti untuk bergambar atau meminta autograf. Kepada semua peminat Heliza di luar sana, jangan lupa ke pawagam berhampiran bermula 21 Mei ini untuk menyaksikan lakonan Heliza. Untuk ‘Syurga Cinta’, Heliza membawakan watak Cikgu Syuhada, seorang guru yang sangat penyabar, lemah-lembut dan kuat berpegang kepada ajaran agama. Kebaikan yang ada dalam dirinya membuatkan dirinya dipermainkan oleh Irham, seorang jejaka yang mengamalkan gaya hidup barat.

No comments:

Post a Comment

Berita or News Designed by Copyright © 2014

Theme images by blue_baron. Powered by Blogger.