Latest News

Qi Teruja Jadi Blogger Boy


Humor, nakal dan romantik! Itulah elemen yang ditampilkan di dalam drama bersiri terbaru ‘Blogger Boy’ yang bakal ditayangkan di 8TV bermula 28 Mei depan, jam 9.30 malam.

Mengetengahkan pengacara program popular ‘Destinasi Bajet’, Qi sebagai pelakon utama, drama 20 episod ini dijangka dapat menarik perhatian penonton. Selain Qi, ‘Blogger Boy’ turut menampilkan pelakon-pelakon muda berbakat besar iaitu Nas-T dan Julie Woon sebagai teraju utama.

Qi ketika ditemui di semalam ketika majlis pelancaran program tersebut mengakui teruja dan berbangga apabila diberi kepercayaan untuk berlakon di dalam drama tersebut. Katanya sebelum ini dia lebih dikenali sebagai pengacara dan pertama kali melibatkan diri dalam bidang lakonan.

"Apabila terlibat di dalam drama ini barulah saya sedar bahawa tugas-tugas sebagai pengacaraan dan lakonan adalah berbeza. Walaupun ia masih berada di dalam bidang seni, namun ia memerlukan daya kreativiti yang berbeza untuk menjayakan sesuatu karektor.

"Memang sukar pada mulanya untuk berlakon di dalam drama ini, namun hasil kerjasama semua pihak segala masalah dapat diarasi. Selain itu, pelakon-pelakon lain yang turut terlibat dalam 'Blogger Boy' seperti Nas-T dan Julie banyak memberikan tunjuk ajar supaya lakonan saya menjadi lebih semulajadi," katanya.






Sementara itu Nas-T ketika diminta komennya tentang ‘Blogger Boy’ memberitahu apa yang penting adalah keserasian di antara pelakon yang terdapat di dalam drama tersebut. Katanya apabila wujud keserasian di antara mereka semua kerja menjadi lebih mudah.

"Perkara paling penting adalah keserasian. Saya yakin drama ini akan berjaya kerana ia dipenuhi dengan plot-plot serta jalan cerita yang cukup menarik," ujarnya.

'Blogger Boy' mengisahkan kehidupan pahit manis seorang jejaka bernama Budi (Qi). Budi berusia 20-an dan masih mencari-cari erti sebenar kehidupan di bandar Kuala Lumpur. Pada waktu yang sama, Budi juga mempunyai identiti rahsia di sebuah laman blog miliknya yang diberi nama 'Budak KL'.




Setelah lebih sebulan menganggur, Budi akhirnya berjaya mendapatkan pekerjaan tetap di sebuah pusat tuisyen. Budi yang sentiasa didesak oleh ibunya untuk berkahwin telah mengambil keputusan untuk melamar teman wanitanya, Zehan sewaktu temujanji makan malam mereka.

Namun Zehan terlebih dahulu memberikan kejutan apabila mengeluarkan kad jemputan perkahwinannya dengan lelaki lain.

Budi yang ternyata begitu hampa dan sedih menghabiskan hari-harinya dengan berkurung di dalam bilik. Kid (Nas-T) yang merupakan teman serumah Budi menasihatkan Budi untuk bersemuka dengan Zehan untuk membuktikan bahawa hidupnya sempurna tanpa Zehan di sisinya.

Budi yang bersetuju dengan idea gila Kid kemudiannya bertemu dengan Zehan. Namun hatinya begitu sakit melihat Zehan sedang mencuba baju pengantin dan bersedia untuk sesi fotografi pra-perkahwinannya.




Harapan Budi untuk memberitahu perasaan sebenarnya terhadap Zehan tidak kesampaian apabila pertemuan mereka lebih kepada perbincangan mengenai baki hutang yang masih belum Budi langsaikan.

Budi bergegas keluar kerana tidak mahu bertemu dengan tunang Zehan. Walaupun begitu dalam keadaan tergesa-gesa, Budi terserempak dengan teman sekolah lamanya (Nina) yang juga merupakan seorang jurugambar.

‘Blogger Boy’ merupakan idea kreatif Lina Tan, Rafidah Abdullah dan Bernard Chauly. Mereka merupakan penerbit, penulis dan pengarah untuk drama bersiri ini.

No comments:

Post a Comment

Berita or News Designed by Copyright © 2014

Theme images by blue_baron. Powered by Blogger.