Latest News

Peserta ‘Anak Wayang’ Bakal Berentap


Setelah mengujibakat lebih 4,000 calon yang hadir dalam sesi ujibakat di tiga buah negeri sejak April lalu, akhirnya 25 orang daripada mereka telah berjaya disenarai pendek sebagai peserta program realiti, ‘Anak Wayang’.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul, pihak produksi terpaksa melakukan proses pemilihan yang sangat teliti dengan mengambil kira semua aspek penting seperti bakat dan rupa paras yang bersesuaian agar mereka tidak terlepas pandang kepada calon yang benar-benar berbakat.

Katanya dia berasa bangga apabila dapat menggunakan platform ‘Anak Wayang’ untuk mencungkil bakat lakonan bakal pelakon baru yang diharapkan mampu mengharumkan nama negara sehingga di persada antarabangsa.

"25 peserta yang telah disenarai pendek ini dipilih berdasarkan kekuatan mereka untuk membawakan kelima-lima watak yang dirasakan sesuai dengan peribadi masing-masing. Mereka akan dibahagikan kepada lima buah kumpulan yang akan bertanding pada setiap minggu untuk merebut watak sebagai jururawat, mekanik, pengurus acara, kuncu samseng dan pembantu peribadi," katanya.

Peserta-peserta yang bertanding untuk merebut watak jururawat ialah Nur Dayana Kamsun Baharin (Dayana), Norria’adelina Abdullah (Delina), Nor Shafiza Iskandar Azizan (Feeya), Juwita Haniem Rahmat (Juwita) dan Widya Irani Mohd Nasir (Widya).

Manakala peserta yang akan bertanding untuk watak mekanik ialah Afzan A. Rahman (Afzan), Amar Mohd Baharin (Amar), Syed Hasan Nabil Al-Habshi (Biel), Mazlan Mokhtar (Lan) dan Lokman Sokran (Lokman).

Faizatul Akmal Abdullah (Eiz), Mohd Hafiz Firdaus Hj Mohd Noor (Fizz), Mohd Hairi Safwan Aznan (Hairi), Maisarah Sojangi (mai) dan Meoki Tong May Lan (Meoki) dari Pulau Pinang akan terus menonjolkan lakonan terbaik mereka bagi merebut watak pengurus acara.

Watak kuncu samseng pula akan direbut oleh Hafiz Halim (Hafiz), Mohd Shah Rezza Abdul Rahman (Msreza), Rosli Mohd Nor (Murshed), Afian Gima (Yanz) dan Yufazli Yusof (Yuzz).

Sementara itu, Noor Arlinda Lajis (Alynn), Nuramirah Mohd Kamil (Mia), Nurin Aziyana Jamali (Nurin), Fyzreen Damira Ahmad Farid (Reen) dan Ooi Nor Wen (Ruby) akan bertanding untuk merebut watak pembantu peribadi dalam drama bersiri ‘Kecuali Cintamu’.

Pada setiap minggu, para penonton dapat melihat perkembangan lima orang peserta berlatih untuk menghayati satu watak yang telah ditetapkan dalam program diari, ‘Sesi Anak Wayang’ (Isnin – Rabu).

Para peserta kemudiannya perlu meyakinkan pihak juri akan kebolehan bakat lakonan mereka di dalam program ‘Pentas Anak Wayang’ pada setiap hari Jumaat. Hanya dua orang peserta terbaik pilihan juri yang layak untuk diundi nasibnya.

Para penonton akan diberi kebebasan untuk memilih peserta yang dirasakan paling layak untuk membawakan watak pilihan pada minggu itu dengan mengundi melalui sistem SMS bermula pada hari Jumaat, jam 10.30 malam sehingga hari Ahad, jam 12 tengah hari.

Keputusan undian SMS akan hanya diketahui dengan menonton drama bersiri ‘Kecuali Cintamu’, pada hari Isnin, jam 8.30 malam di Astro Prima. Peserta yang mendapat undian tertinggi secara otomatik akan berlakon dalam drama bersiri itu sehinggalah watak itu dimatikan atau dikembangkan pada minggu-minggu yang akan datang.

"Pada setiap minggu, kami ingin memberi penumpuan kepada watak-watak yang ingin dikembangkan. Para penonton dapat melihat perkembangan watak jururawat pada minggu pertama, watak mekanik pada minggu kedua, watak pengurus acara pada minggu ketiga, watak kuncu samseng pada minggu keempat dan watak pembantu peribadi pada minggu kelima," katanya.

Tambahnya, dengan cara tersebut secara tidak langsung, para peserta akan lebih fokus dengan pembelajaran yang akan diketengahkan oleh tenaga pengajar.

Bukan itu sahaja, para penonton juga boleh memanfaatkan ilmu-ilmu lakonan bagi menghayati sesuatu watak pada setiap minggu sekaligus menyokong inspirasi mereka yang mahu mendidik sambil berhibur.

Pelakon lelaki terbaik Festival Filem Malaysia ke-20, Rusdi Ramli diberi kepercayaan untuk mengacarakan rancangan ‘Pentas Anak Wayang’ dan Bintang Harapan Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia 17, Fazura pula akan mengacarakan rancangan ‘Dialog Anak Wayang’ dan ‘Sesi Anak Wayang’.

No comments:

Post a Comment

Berita or News Designed by Copyright © 2014

Theme images by blue_baron. Powered by Blogger.