Latest News

40 Ribu Peminat Banjiri Konsert Inspirasi TV3


Bagi meraikan ulang tahun TV3 yang ke-25, stesen televisyen swasta pertama negara itu telah mengadakan Konsert Inspirasi TV3 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Dengan barisan penyanyi popular yang diketengahkan, konsert tersebut berjaya menghimpunkan hampir 40 ribu penonton yang masih percaya dengan bakat serta kebolehan para penghibur tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Sri Farid Redzuan ketika ditemui memberitahu dia berasa begitu bangga dan teruja apabila melihat begitu ramai penonton yang hadir menyaksikan konsert tersebut.

Katanya, walaupun malam itu terdapat konsert Pesta Malam Indonesia 3 (PMI3) yang diadakan di Stadium Bukit Jalil, namun ianya sedikitpun tidak memberikan kesan kepada Konsert Inspirasi TV3.

"Saya memang terkejut dengan sambutan yang diberikan. Walaupun ada konsert lain pada malam ini, namun kehadiran penonton yang ramai membuktikan mereka masih yakin dengan penyanyi tempatan. Paling penting kesemua penyanyi yang terpilih mempunyai kehebatan masing-masing dan cukup popular sekarang," ujarnya yang kelihatan ceria di sepanjang konsert tersebut berlangsung.

Tambahnya, apa yang membuatkannya gembira apabila konsert tersebut disaksikan oleh semua peringkat umur dan golongan. Malah golongan ibu bapa juga tidak teragak-agak untuk membawa anak-anak mereka untuk sama-sama meraikan ulang tahun ke-25 TV3.

Bercerita lebih lanjut tentang konsert yang mengambil masa hampir setahun untuk direalisasikan itu, dia menyatakan kesemua kemudahan serta 'sound system' yang digunakan pada malam itu bertaraf antarabangsa. Katanya apa yang dilakukan oleh TV3 semata-mata untuk menghargai para penontonnya yang sentiasa memberikan sokongan selama 25 tahun TV3 bersiaran.

"Lazimnya kami menjadikan bulan Jun sebagai acara tahunan ulang tahun TV3. Namun pada tahun ini sempena 25 tahun kelahiran TV3, kami memberikan satu kelainan di mana pelbagai aktiviti dan program menarik telah disusun sepanjang tahun sebagai tanda terima kasih kami kepada peminat," katanya.

Mengimbau perjalanan konsert pada malam itu, pentas dibuka dengan persembahan hebat daripada One Nation Emcees yang menyanyikan lagu TV3, “Satu Tradisi”. Jamal Abdillah pula memukau penonton dengan vokalnya yang mantap melalui medley “Bunga Pujaan” dan “Gadis Melayu”.

"Saya mengucapkan selamat ulang tahun kepada TV3 yang kini berusia 25 tahun. Sejak dahulu sehingga kini, saya memang selalu bekerjasama dengan TV3 dan mengharapkan TV3 akan terus berjaya pada masa yang akan datang," ujar Jamal yang tampil dengan imej ringkas tetapi hebat.

Band indie yang sedang meningkat naik, Bunkface menghangatkan Dataran Merdeka dengan lagu “Silly Lily”, “Revolusi” dan “Situasi”. Dengan aksi lincah dan bertenaga, kumpulan tersebut wajar dinobatkan sebagai antara kumpulan baru paling ‘meletop’ di Malaysia.

Penyanyi dari Indonesia, Afgan yang sememangnya dinanti-nantikan oleh para peminat berjaya memukau penonton dengan lagu popularnya “Entah”, “Bukan Cinta Biasa” dan “Terima Kasih Cinta”. Persembahan bersahaja Afgan disambut dengan sorakan gamat daripada peminat yang telah lama merindui vokal gemersiknya itu.

Kumpulan Hujan pula selesa mengetengahkan persembahan penuh bertenaga melalui lagu “Mencari Konklusi” dan medley “Pagi Yang Gelap” dan “Aku Skandal”. Juara One In A Million (OIAM) terbaru, Tomok tampil hebat ketika menyanyikan lagu “Jika Kau Bercinta Lagi”, “Sekuntum Mawar Merah” dan “Kerana”. Walaupun menyanyikan lagu penyanyi lain, namun lagu-lagu yang telah diberikan susunan muzik terkini, amat bersesuaian dengan imej dan personaliti Tomok.

Kumpulan Estranged cukup menyerlah ketika menyanyikan lagu “Ketika Ini”, “Aurora” dan “Yang Pernah”. Bagaimanapun kehadiran Adibah Nor, Jaclyn Victor, Ning Baizura dan Noryn Aziz yang tampil mempersona berjaya membius penonton.

Mereka yang menyanyikan lagu medley “Layar Impian”, “Say My Name” dan “Fighter” berjaya mengajak penonton menyanyi bersama-sama mereka. Ramai yang tidak puas menyaksikan persembahan pendek dari empat diva tersebut namun mereka terpaksa akur kerana perlu memberikan peluang kepada penyanyi lain untuk mengadakan persembahan.

Sifu M. Nasir pula tampil santai ketika menyanyikan secara medley lagu-lagu popularnya iaitu “Tanya Sama Itu Hud Hud”, “Andalusia” dan “Juwita Citra Terindah”. Duet M. Nasir bersama Jamal ketika menyanyikan lagu “Ghazal Untuk Rubiah” ternyata sangat hebat.

"Untuk menyanyikan lagu ini, saya terpaksa memanggil sahabat saya iaitu Jamal Abdillah," ujar M. Nasir sebelum memulakan persembahan dan disambut dengan sorakan meriah penonton.

Persembahan Aizat dan Faizal Tahir sememangnya dinanti-nantikan pada malam itu. Mereka berdua bekerjasama menyanyikan lagu “Pergi”, “Kau Aku”, “Hanya Kau Yang Mampu” dan “Bencinta”. Paling menarik apabila Faizal cuba menyanyikan lagu Aizat manakala Aizat menyanyikan lagu Faizal dengan gayanya yang tersendiri.

Kumpulan Wings berjaya mengembalikan nostalgia peminat dengan menyanyikan lagu “Kota Kemusnahan”, “Sejati” dan “Intanku Kesepian”. Ternyata kehebatan Wings memang sukar ditandingi oleh kumpulan-kumpulan lain kerana mereka mempunyai cara tersendiri untuk menghiburkan penonton.

Sebagai penutup, Dina dan kesemua penyanyi yang mengambil bahagian bersatu menyanyikan lagu “Inspirasi”. Pertunjukan bunga api yang diadakan selepas itu pula berjaya membuatkan penonton terpaku di Dataran Merdeka sehingga konsert yang memakan masa sehingga dua jam setengah berakhir.

No comments:

Post a Comment

Berita or News Designed by Copyright © 2014

Theme images by blue_baron. Powered by Blogger.