Latest News

Fizo, Kamal Tiada Hasad Dengki


Dua pelakon baru ini semakin mendapat tempat dalam industri. Kedua-duanya mempunyai beberapa persamaan yang mungkin tidak disedari oleh anda. Kalau anda hendak tahu, selain daripada mempunyai paras rupa, Fizo Omar dan Kamal Adli mula bertapak dalam dunia lakonan setelah mereka menyertai Pertandingan Hero Remaja 2007/2008 yang dianjurkan oleh Majalah Remaja, terbitan Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd.

Dalam pertandingan itu, Kamal berjaya bergelar juara, manakala Fizo berada di tempat kedua. Bagaimanapun, bintang Fizo terlebih dahulu mengeluarkan sinarnya apabila dia mendapat peluang berlakon terlebih dahulu daripada Kamal. Drama terawal yang dilakonkan oleh Fizo ialah ‘Elit’, yang disiarkan di saluran Astro.

Ketika Fizo sedang sibuk membina karier dalam lakonan, Kamal pula lebih terarah kepada tugas pengacaraan. Antara program yang dihoskan olehnya ialah ‘Battle of The Bands’ (RTM) dan ‘Pandanganku Ceritaku’, terbitan Sony untuk Astro Ria.

Kini, setelah hampir setahun berlalu, Fizo dan Kamal bagaikan bersaing sesama sendiri untuk menempatkan diri dalam dunia lakonan. Malah, ada sesetengah pihak yang cuba membuat perbandingan tentang mutu lakonan kedua-dua hero baru ini.

Ada yang mengatakan lakonan Fizo lebih baik daripada Kamal dan ada juga yang mengatakan Kamal lebih sesuai memegang watak hero berbanding Fizo. Dengan berlegarnya pandangan seperti ini, GUA terfikir untuk mendapatkan komen daripada kedua-dua pelakon baru ini. Pasti ada yang ingin tahu adakah mereka ini saling cemburu atau atau sebaliknya.

Ditemui pada sidang media saringan Program Raya Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad baru-baru ini, Fizo dan Kamal yang memberitahu GUA yang mereka langsung tidak mencemburui kejayaan yang diperolehi masing-masing. Malah, mereka mengakui yang mereka berkawan baik dan sering berbincang untuk memajukan diri dalam industri.

“Saya tidak kisah apa pandangan orang tentang lakonan saya. Kalau orang katakan lakonan saya lebih baik daripada Kamal, mungkin kerana saya lebih dahulu berlakon daripada dia. Tetapi, saya percaya setiap orang mempunyai kekuatan dan keistimewaan tersendiri.

“Tentang Kamal yang sering berpeluang memegang watak hero, saya juga tidak kisah dengan pencapaiannya itu. Itu sudah rezeki dia dan saya tetap menyokong dia. Tidak timbul soal hasad dengki di sini. Lagipun, dulu saya yang sering menolak daripada membawa watak hero kerana kurang yakin dengan kemampuan lakonan saya.

“Tetapi, sekarang saya lebih bersedia. Bagaimanapun, ia bergantung kepada pengarah atau produser sesebuah penerbitan itu. Jika mereka rasakan saya layak membawakan watak hero, pasti peluang itu akan datang,” jelas Fizo panjang lebar.

Kamal juga sependapat dengan rakan baiknya itu. Menurut Kamal, dia langsung tidak pernah terfikir untuk ‘mencaras’ Fizo dalam bidang lakonan.

“Terus-terang saya katakan yang saya tidak pernah memandang Fizo sebagai saingan dalam industri ini. Sebaliknya, saya dan Fizo saling menyokong di antara satu sama lain. Saya pun sebenarnya tidak pernah terfikir untuk memegang watak hero apabila membuat keputusan untuk berlakon, tetapi mungkin sudah rezeki saya.

“Kalau orang membeza-bezakan mutu lakonan saya dengan Fizo, itu hak mereka. Setiap orang ada pendapat sendiri. Apa yang boleh saya janjikan ialah, saya akan lakukan yang terbaik untuk memuaskan hati peminat,” jelas Kamal.

Sementara itu, Kamal juga sempat berbisik kepada GUA yang dia tidak mahu bercerita tentang kisah peribadinya buat masa ini. Kata Kamal, dia lebih selesa bercerita tentang kariernya. Ini kerana gosip percintaaan dengan Intan Ladyana sebelum ini sedikit sebanyak telah membuatkan dia tertekan.

Perkembangan terkini, Kamal bakal beraksi dalam filem seram terbaru arahan Ahmad Idham. Manakala Fizo sedang sibuk menjalani pengambaran drama bersiri ‘Cinta Sempurna’ yang akan bersiaran di saluran Astro.

No comments:

Post a Comment

Berita or News Designed by Copyright © 2014

Theme images by blue_baron. Powered by Blogger.