Latest News

Buka Puasa di Hotel Tertinggi Malaysia


Berbuka puasa di hotel pasti menggamit selera kerana kepelbagaian makanan dari pelbagai daerah tempatan mahupun luar negara. Seeloknya sebelum memilih hotel, semak harga serta kualiti makanan dijamu.

Hotel tertinggi di Malaysia, Grand Seasons, menawarkan harga menarik bufet Ramadan. Singgah dan menjamu selera di Seasons Café yang terletak bersebelahan ruang lobi hotel.

Dengan RM60++, anda boleh menikmati makanan enak dan menyelerakan pada harga cukup berbaloi. GUA tidak ketinggalan dijemput pihak hotel untuk menjamu selera di sana.

Ketika melangkah masuk, mata tertumpu kepada kambing panggang yang disediakan. Semestinya kambing panggang adalah daya penarik kebanyakan bufet Ramadan. Seorang teman GUA awal-awal sudah mengambil beberapa keping hirisan daging panggang untuk di kongsi bersama selepas berbuka.

Selain kambing panggang, GUA sungguh tertarik untuk mencuba lidah panggang (lembu) yang sangat jarang disediakan apabila berbuka di hotel. Perlu diingatkan, sekiranya anda berminat mencuba, usah teragak-agak mengambilnya awal kerana kuantiti lidah yang disediakan terhad. Menurut chef di situ, lidah sukar didapati dan harganya mahal. Ayam panggang juga disediakan bagi pengunjung yang tidak menjamah daging kambing dan lembu.

Mulakan buka puasa dengan menjamah kuih-muih seperti seri muka, lepat pisang, jemput-jemput udang dan pisang, ketayap dan banyak lagi. Selepas itu anda mungkin ingin mencuba bubur lambuk dan satay.

Dari satu sudut ke satu sudut, hampir semua makanan tempatan boleh didapati di sini. Nasi beriani gam adalah satu item favourite disamping lauk pauk seperti kambing kuzi, daging rendang Minangkabau, udang bakar berempah, kari ketam, sotong masak merah, kambing dalca, ayam kurma, rendang tok, ayam pandan dan ikan goreng berempah.


Peminat steamboat pasti tidak ralat kerana anda boleh menikmati makanan ini di satu sudut khas. Pelbagai jenis laksa disediakan seperti assam laksa, laksa utara, laksa Johor dan laksa Sarawak. Hidangan laksa adalah berbeza setiap hari.

Ingin cuba kelainan ketika berbuka? Hidangan salad, sushi dan putumayam turut disediakan di sini. Sup gearbox pula disediakan dalam kawah besar untuk hidangan peminat sup.

Akhiri malam anda dengan menikmati manisan seperti pulut kuah durian, puding mangga, puding roti, kek span serta biskut raya. Kanak-kanak pasti teruja apabila aiskrim disediakan dalam pelbagai perisa.

Pastinya bufet Ramadan ini bukan hanya dinikmati umat Islam sahaja, rakan-rakan berbeza agama boleh besama-sama merasai kemeriahan berbuka puasa di Hotel Grand Seasons!

No comments:

Post a Comment

Berita or News Designed by Copyright © 2014

Theme images by blue_baron. Powered by Blogger.