Latest News

Ella Keluarkan ‘The Greatest Hits’


Bukan sekadar ratu, kini Ella, ikon rock negara, buat pertama kalinya tampil dengan sebuah kompilasi paling komprehensif, menggabungkan lagu-lagu terbaik beliau bersama Warner Music dan EMI Records.

Kini kembali bersama Warner Music umpama sirih pulang ke gagang, ikon rock Ella meluncurkan The Greatest Hits, perjalanan kisah cintanya di persada muzik serantau. Menampilkan 32 buah lagu yang dipilih oleh Ella sendiri, ianya juga turut menampilkan tiga buah lagu baru – “Puisi Hamba”, “Jiwa Setia” dan “Mencari” – kesemua lagu-lagu baru ini merupakan terbitan produser terbaru pilihannya, Amir.

Memulakan karier nyanyiannya sejurus menamatkan alam persekolahan, Ella menyertai kumpulan The Boys dan merakamkan suara buat kali pertama pada tahun 1986, di saat kegemilangan muzik rock di Malaysia bermula.

Selepas menghasilkan dua buah album bersama The Boys, Ella mengambil langkah berani untuk muncul sebagai penyanyi solo pada tahun 1989, selepas menyertai keluarga WEA (kini Warner Music) dan tampil dengan album hit pertama, ‘Pengemis Cinta’, di bawah terbitan Ramli Sarip yang menampilkan lagu-lagu hit seperti “Pengemis Cinta” dan “Permata Biru”.

Selepas menghasilkan dua buah lagi album hit, ‘Puteri Kota’ dan ‘Identiti’, Ella melangkah setapak lagi di dalam kariernya apabila menyertai EMI Records dengan tawaran kontrak yang paling lumayan buat artis Malaysia pada masa itu.

‘30110’ yang diluncurkan pada tahun 1992 berjaya memecah rekod jualan album di Malaysia, sekaligus mengukuhkan nama Ella sebagai satu-satunya ratu rock di Malaysia yang tiada tolok bandingannya. Kejayaan ini diikuti dengan ‘Ella USA’ (yang dirakamkan di Amerika Syarikat dan Jepun) pada tahun 1994.

Bersama EMI, Ella telah mengahasilkan lima buah lagi album penuh (yang paling terakhir ialah ‘Rama-rama’), sebuah EP dan beberapa album kompilasi.

Sepanjang kariernya, Ella pernah bergandingan bersama beberapa nama besar seperti Ramli Sarip, Deddy Dores, Awie, Tam Spider, Slash dan ramai lagi. Bakat Ella bukan sahaja terpamer di pentas-pentas taupun di corong-corong radio, bahkan Ella pernah mengembangkan bakatnya di layar perak dan beraksi di dalam tiga buah filem: ‘Bayangan Maut’, ‘Pemburu Bayang’ dan ‘Hanya Kawan’. Ella pernah berlakon di sisi Noorkumalasari, Yusof Haslam, Erma Fatima, Awie dan Jojie.

Kini, setelah hampir 25 tahun menguasai arena rock Malaysia, Ella bukan sekadar seorang ratu yang menguasai takhta muzik, malah kini merupakan ikon rock negara yang belum ada gantinya. Ella terus mewarnai dunia muzik Malaysia dengan bakatnya yang tersendiri tanpa dibayangi momokan bakat-bakat amatur yang membanjiri pelbagai program realiti.

‘Ella – The Greatest Hits’, 32 buah lagu-lagu bertaraf “legendary” sudah berada di pasaran sejak 14 Mei.

No comments:

Post a Comment

Berita or News Designed by Copyright © 2014

Theme images by blue_baron. Powered by Blogger.