Latest News

Tiara Terokai Dunia Lakonan


Pada mulanya dia menceburi bidang seni dengan cita-cita untuk menjadi seorang penyanyi yang berjaya. Namun ternyata nasib tidak menyebelahi Tunku Tiara Yasmin Sofia apabila dia gagal menyerlah selepas menyertai pertandingan One In A Million musim kedua (OIAM2).

Bagaimanapun gadis manis yang baru berusia 22 tahun ini tidak pernah mengalah. Gagal menakluki pentas nyanyian, dia beralih arah kepada bidang lakonan yang semakin diminatinya. Tambah hebat apabila dia diberi peluang membintangi beberapa buah drama menarik walaupun baru setahun jagung di dalam bidang glamor. Terbaru dia membintangi drama ‘Gadis Cuci’ bersama-sama Fara Fauzana, Darling dan Anne Ngasri.

"Pada mulanya saya memang bercita-cita untuk menjadi penyanyi. Tetapi bila dah terlibat dalam bidang seni, nampaknya rezeki saya dalam bidang lakonan lebih murah. Jadi tidak salah rasanya untuk saya mencuba" ujarnya.

Tambahnya, pada mulanya dia sendiri tidak yakin dengan bakat lakonan yang dimiliki. Oleh sebab itu dia lebih selesa menerima watak-watak yang kecil terlebih dahulu untuk mencari pengalaman dan keyakinan diri.

Apabila dirinya semakin yakin, dia mula berani mencuba watak-watak lain yang lebih berat serta mampu menguji keupayaannya sebagai pelakon.
"Saya tidak kisah untuk melakonkan watak-watak yang kecil atau biasa-biasa sahaja. Ini kerana saya sedar sebagai pelakon baru saya perlu banyak belajar serta menimba pengalaman.

"Oleh kerana itu jika di lokasi penggambaran, saya tidak kisah jika ditegur oleh pengarah kerana daripada situ saya dapat memperbaiki diri. Saya juga sering meminta pendapat daripada pelakon senior untuk memantapkan lagi lakonan saya," katanya yang berdarah kacukan Melayu-Inggeris.

Bercerita tentang ‘Gadis Cuci’, dia memberitahu drama bersiri sebanyak 13 episod tersebut bakal ditayangkan 21 Mei nanti setiap hari Khamis pada pukul 9 malam di saluran Astro Ria (104). Di dalam drama itu dia melakonkan watak sebagai Diana yang juga merupakan anak saudara kepada tauke kedai mencuci kereta.

"Melalui watak Diana, saya menjadi seorang gadis yang lurus bendul, keliru dan mempunyai gaya komunikasi yang tersendiri. Sebenarnya watak tersebut tidaklah terlalu sukar untuk dijayakan, namun ia tetap menuntut komitmen daripada saya.

"Saya gembira dan bersyukur kerana di dalam drama tersebut saya mendapat kerjasama daripada Fara Fauzana, Darling dan Anne yang banyak memberikan tunjuk ajar kepada saya.

"Sebelum ini mereka semua sudah terlibat dalam ‘Gadis Cuci’ musim pertama dan untuk musim kedua saya adalah watak baru yang diwujudkan untuk menggantikan watak yang pernah dilakonkan oleh Nora Danish," katanya yang pernah berlakon bersama Darling Ngasri melalui drama ‘Nur’ musim kedua.

Tambahnya sebagai Diana yang juga merupakan pekerja baru di pusat mencucui kereta itu, dia selalu dibuli oleh pekerja lain yang lebih senior. Namun apabila telah lama bekerjasama, keserasian mula wujud dan mereka berempat akhirnya menjadi sahabat baik.

Katanya setelah sekian lama menceburkan diri dalam bidang lakonan, dia telah berlakon di dalam beberapa buah drama. Antaranya ‘Kerana Karina’ musim ketiga, ‘Raya Sedondon’ dan ‘Loqlaq’.

Namun impiannya untuk berlakon di dalam sebuah filem yang hebat masih belum terlaksana. Bagaimanapun gadis cekal yang tidak pernah berputus asa ini percaya peluangnya akan tiba juga pada masa akan datang jika dia terus menonjolkan kualiti lakonan yang konsisten.

Ditanya tentang bidang nyanyian pula, Tiara yang peramah dan mudah tersenyum ini menyatakan dia masih mencintai bidang nyanyian walaupun semakin menyerlah di dalam bidang lakonan. Katanya kedua-dua bidang tersebut mempunyai keistimewaan serta cabarannya yang tersendiri.

"Kalau nak cakap tentang bidang nyanyian, saya akan muncul dengan single tidak lama lagi. Single tersebut berjudul “Jangan Berikan Cinta” dan kini sudah pun siap dirakamkan. Kini saya cuma mencari masa yang sesuai untuk mempersembahkannya kepada pendengar.

"Sebenarnya perancangan untuk menghasilkan single tersebut telah lama wujud tetapi ia sering tertangguh kerana kesibukan saya di lokasi penggambaran. Namun saya tak kisah kerana saya mahu berikan yang terbaik kepada peminat," tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Berita or News Designed by Copyright © 2014

Theme images by blue_baron. Powered by Blogger.