Latest News

Kari Kepala Ikan Stail GUA


Kali ini GUA nak ajak layan resepi Kari Kepala Ikan. Kari ini mungkin tidak sama dengan hidangan di mana-mana kedai mamak kerana resepinya istimewa sekali dan mudah saja penyediaannya. Memasak kari kepala ikan ini, kuahnya melimpah. Lebihan kari itu jangan dibazirkan, ianya boleh dimakan dengan roti atau biskut. Jom kita cuba memasak Kari Kepala Ikan Stail GUA.

Tiga bahan pertama yang penting dalam penyediaan Kari Kepala Ikan Stail GUA ini ialah tomato, bawang besar dan cili hijau. Dadukan tomato dan bawang merah serta hiriskan cili hijau. Kemudian kisar bawang putih dan halia; ketuk satu atau dua batang serai. Guna satu setengah paket atau dua paket kari ikan mengikut citarasa; bancuh kari ikan ini dengan sedikit air dan ketepikan. Sediakan segenggam asam jawa dan jadikan air asam jawa pekat.

Panaskan periuk sederhana besar dan masukkan sesenduk minyak masak untuk menumis tomato, bawang besar dan cili hijau. Banyak sikit minyak pun tidak mengapa kerana apabila kari ditumis ianya tak mudah hangus. Kacau selalu dan masukkan suku cawan air untuk apabila bahan-bahan sudah mula lembut dan bersatu. Apabila adunan tomato, bawang dan cili hijau ini sudah menjadi cair, masukkan kisaran bawang putih dan halia serta serai. Langkah seterusnya ialah memasukkan cili dan kari ke dalam periuk. Kacau untuk memastikan kari ini tidak hangus.

Apabila kari sudah mula naik minyak, tuangkan air asam jawa dan sedikit air mengikut kesukaan anda. Jika inginkan pekat, kurangkan air dan sebaliknya. Jika ingin menggunakan santan boleh juga tetapi jangan banyak, semangkuk kecil sudah memadai.

Pastikan kepala ikan telah dibersihkan sebelum anda memasukkannya ke dalam kuah. Tambahkan garam, gula dan perisa secukup rasa. Jangan masak kepala ikan lama-lama, nanti semuanya hancur dan isi menjadi keras. Untuk yang gemarkan sayur, campurkan bende atau terung ke dalam kuah. Nikmatilah semasa panas, pasti terangkat!

No comments:

Post a Comment

Berita or News Designed by Copyright © 2014

Theme images by blue_baron. Powered by Blogger.