Latest News

Selera Melaka di Saffron Brasserie


Sempena bulan kemerdekaan ini, bawalah rakan atau keluarga anda ke Saffron Brasserie, Ancasa Hotel, Kuala Lumpur untuk menikmati hidangan bercitarasa Melaka yang enak dan lazat. Promosi bufet tengahari ini menyajikan kombinasi makanan masyarakat Baba dan Nyonya, dan Portugis. Istimewanya, setiap hidangan ini disediakan oleh chef jemputan yang dibawa khas dari Melaka iaitu Chef Augustine Nonis dan Chef Shirley Tan Siew Phin yang merupakan pasangan suami isteri berketurunan Portugis, dan Baba dan Nyonya.

Hendak tahu apa yang membuka selera di sana? Jom! Lihat apa yang telah GUA nikmati ketika singgah ke sana baru-baru ini.

Untuk pembuka selera, GUA mulakan makan tengahari itu dengan mengambil Sup Ayam Nyonya dengan sebiji roti kosong. Selain daripada mengandungi daging ayam, ada juga ubi kentang di dalamnya. Rasa sup ini agak berbeza dengan sup ayam yang biasa dimakan kerana ia mengandungi ramuan herba yang baik untuk kesihatan. Mungkin tidak begitu digemari oleh mereka yang tidak sukakan rasa halia. Namun, sup ini amat sesuai untuk anda yang pentingkan kesihatan kerana ia langsung tidak berminyak.


Selepas menikmati hidangan ini, GUA ke kaunter hidangan utama. Ada nasi putih, Nasi Goreng Kampung Melaka berserta pelbagai jenis lauk-pauk yang di antaranya adalah Kari Ayam Nyonya, Ikan Asam Pedas, Ayam Pong Teh, Tauhu Chuan-chuan, Ayam Buah Keluak, Sayur Chap Chai, Ikan Bersos Limang dan Kari Ayam Devil.


Dalam banyak-banyak hidangan ini, GUA ‘jatuh cinta’ dengan Kari Ayam Devil. Masakan orang Portugis ini sekali pandang nampak macam rendang tetapi rasanya berbeza. Cukup rempahnya, pedas dan paling penting ayamnya lembut. Bagi yang gemarkan masakan ikan, bolehlah mencuba Portugese Baked Fish dan Fish Pepper Curry. Nampak menyelerakan juga. Ikan bakar pun ada juga.


Untuk pencuci mulut, GUA mencuba beberapa sajian tradisional seperti bubur cha-cha, pengat pisang, dodol Melaka dan kuih Koya. Hrm ...boleh tahan rasanya.

Promosi bufet makan tengahari dan malam ini berharga RM45++ untuk dewasa dan RM33++ kanak-kanak. Untuk tempahan, anda boleh menghubungi talian 03 – 20266060 ext 7703.

No comments:

Post a Comment

Berita or News Designed by Copyright © 2014

Theme images by blue_baron. Powered by Blogger.