Latest News

Kotak


Album:
Kotak Kedua

Genre:
Modern Rock

Diskografi:
Kotak (2005)

Ulasan:
Seperti yang diketahu peminat Kotak di Indonesia, uniknya tentang mereka berempat ini ialah gabungan dua “pria” dan dua “cewek”. Namun jangan pula silap anggap, kemistri kuartet ini hanya terletak pada pengisian bawaan bunyi rock berat mereka!

Album ‘Kotak Kedua’ ini membuktikan mereka serius terhadap muzik, ataupun paling tidaknya mereka begitu serius dengan ‘rock’. Kotak, semestinya dinamakan demikian kerana empat penjuru sama rata yang membentukkan dinamik gabungan mereka, bukanlah Abba apatah lagi sebuah kumpulan yang boleh digelar pop sahaja.

Dengarkan lagu kuat mereka di sini, seperti “Beraksi” ataupun “Rock Never Dies” (satu-satunya lagu Inggeris bawaan Kotak) – tahulah pendengar bahawa mereka sendiri akan bengan dengan panggilan itu!

Temui mereka di arena langsung, budak-budak Kotak ini pasti tidak akan puas dalam usaha mereka menyemarakkan semula kesinambungan dan kegemilangan legasi muzik rock di hati anda. Justeru itu pendengar Malaysia mungkin boleh rasa terharu dengan Kotak sebab sekurang-kurangnya diorang ni macam mahu membangkitkan kembali zaman konsert rock besar-besaran yang pernah menggambarkan kemuncak muzik Malaysia tidak lama dahulu.

Sekurang-kurangnya Kotak seolah-olah jujur mengakui bahawa budaya rock Indonesia pada hakikatnya dipengaruhi dan dipelajari daripada lagenda-lagenda Malaysia seperti Search di era ’80-an!

Album ini walaupun sedikit ketinggalan – bunyi sebegini sudahpun kedengaran dengan banyak sekitar tahun 2000 lagi – ia baik, ia baik. Cella yang mencipta hampir kesemua material Kotak memang “membolot” perhatian di dalam kumpulan ini, dengan bunyi gitarnya yang cukup agresif mendominasi isian album ini. Elemen muzik metal dan ‘industrial’ (yakni bunyi-bunyi dijana elektronik) juga gerangan ketua kumpulan yang kental berkepala botak ini.

Tantri pula, yang mengingatkan seseorang kepada Ella dengan gaya ‘awek rockers’ sejatinya, mempunyai vokal yang mampu bersaing dengan mana-mana penyanyi pop wanita yang biasa kita dengar. Manakala Chua, yang paling muda sekali di dalam band, tidak kurang juga dengan permainan bassnya yang cekap dan penampilannya yang tersendiri (orangnya pun boleh tahan comel juga).

Drummer yang digelar Posan Tobing pula menghentakkan set dramnya dengan sepenuh darah mudanya pada setiap detik rancak di dalam senarai lagu-lagu “Kotak Kedua” ini. Evanescence, Creed, Korn, Marilyn Manson ... ini antara band-band Barat yang boleh dianukan sebagai pengaruh-pengaruh besar kewujudan Kotak.

Album ini lebih kurang mencampurkan bilangan lagu-lagu berat disamping lagu balada mendayu yang secara jujurnya lebih menonjolkan vokal Tantri. Lain-lain lagu yang dimuatkan di sini termasuk “Kosong Toejoh”, “Tinggalkan Saja”, “Berbeda”, “Lagi-Lagi”, “Tetap Ada”, “Masih Cinta”, “Terluka”, “Mencintai Ku Dan Dia”, “Bayang Abadi” dan “Kembali Untukmu”. Rock kental!

Kotak, Kotak, Kotak:
Cewek-cewek rock Kotak, Tantri dan Chua, sebenarnya boleh tahan baru juga masuk menganggotai Kotak, dipilih sendiri oleh Cella dan Posan Tobing, sempena album ‘comeback’ ataupun ‘percubaan kedua’ ini.

Kotak yang tertubuh pada lewat tahun 2004 sebelum ini dianggotai oleh penyanyi asalnya, Pare, dan pemain bass asal, Inez, kedua-duanya juga cewek.

Menurut Tantri, irama-irama serta “melodi-melodi Melayu” menjadi ‘trend’ di seberang sekarang ini, manakala Cella sehati percaya bahawa rock berat bakal berleluasa di arus perdana rantau ini idak lama lagi. Kalau ini benar Tantri dan Kotak secara automatik sudah agak lain di sini berbanding kumpulan-kumpulan bergitar senegara mereka seperti Ungu, Peter Pan dan Nidji, yang semakin formula mencernakan lagu-lagu pop lembik mereka yang lebih dipengaruhi apa yang hangat di radio UK, Eropah dan Amerika.

Sentiasa dilaporkan bahawa ahli-ahli Kotak semuanya pemuzik handalan belaka yang pernah memenangi pertandingan Battle of The Bands.

Sama ada ahli-ahli lelaki dan perempuan Kotak sebenarnya merupakan pasangan romantik masing-masing masih misteri.

No comments:

Post a Comment

Berita or News Designed by Copyright © 2014

Theme images by blue_baron. Powered by Blogger.