Latest News

Percutian Asyik di Hilton Batang Ai


Jika dihitung-hitung, sudah berapa kali agaknya anda ke Kuching, Sarawak untuk bercuti? Untuk semua trip itu, pernah atau tidak anda ke Batang Ai? Pasti ramai yang menggelengkan kepala. Iyalah, tidak banyak agensi mempromosikan destinasi ini kepada pelancong. Salah satu sebabnya, perjalanan ke sana mengambil masa lebih kurang empat jam dari Kuching dengan jarak 275 kilometer.

Akan tetapi, terdapat sebuah resort unik yang menanti kehadiran pengunjung di daerah yang majoriti penduduknya berketurunan Iban ini. Terletak di pinggiran tasik dan dikelilingi oleh hutan yang menghijau, Hilton Batang Ai Longhouse Resort menjanjikan sebuah percutian yang cukup mendamaikan. Sangat sesuai untuk mereka yang ingin lari daripada suasana kota yang merimaskan. Bahkan, juga sesuai untuk berbulan madu.

Hendak tahu apa yang menanti anda di sana? Maklumat berikut mungkin boleh membantu. Paling penting, apa yang GUA ceritakan di sini bukanlah berdasarkan ‘press release’ semata-mata, tetapi ia berdasarkan pengalaman GUA sendiri yang mengikuti trip anjuran Tourism Malaysia dan Tourism Sarawak baru-baru ini.



Pemandangan indah
Perjalanan ke Hilton Batang Ai Longhouse Resort memang agak memenatkan tetapi semua ini akan terubat sebaik sahaja anda tiba di jeti resort ini. Pemandangan tasik yang indah membuatkan anda tidak sabar-sabar untuk menjenguk resort yang menyediakan penginapan ala rumah panjang kaum Iban ini.

Perjalanan menaiki bot juga tidak kurang menariknya. Suasana tasik yang mendamaikan cukup menenangkan fikiran. Setelah menghabiskan masa kira-kira 20 minit di dalam bot, barulah anda tiba ke resort. Sebaik kaki melangkah ke lobi, petugas resort akan menyambut mesra kedatangan anda dengan menghulur segelas jus buah-buahan bersama sehelai tuala basah untuk menyegarkan badan. 10 minit selepas itu kunci bilik akan diserahkan dan anda sudah boleh ke bilik untuk merehatkan diri seketika sebelum bersiap-sedia untuk melihat matahari terbenam. Bercerita tentang bilik penginapan di sini, GUA yakin pasti anda akan sukakannya. Resort ini menawarkan 100 buah bilik yang bertemakan rumah panjang orang Iban. Walaubagaimanapun, setiap bilik dilengkapi dengan peralatan moden yang menjanjikan keselesaan.





Hidangan lazat dan enak!
GUA nasihatkan anda ambil pakej ‘full board’ bagi menjimatkan perbelanjaan. Anda hanya boleh menjamu selera di Nanga Mepi Restaurant atau Wong Irup Lounge. Nanga Mepi Restaurant yang merupakan lokasi selera utama resort ini menyediakan pelbagai juadah enak yang cukup menyelerakan. Jangan lupa mencuba makan malam BBQ di sini. Makanan laut yang dihidangkan cukup segar dan pelbagai Jika ingin menikmati hidangan ringan, anda boleh ke Wong Irup Lounge yang menyediakan pelbagai jenis minuman seperti koktel, moktel dan juga tuak (minuman popular di Sarawak).

Tempat-tempat menarik
Sepanjang berada di resort ini banyak perkara yang boleh anda lakukan. Antaranya anda boleh menghabiskan masa dengan berendam di kolam renang, memancing, mendayung sampan atau meninjau keindahan alam semulajadi dengan melalui laluan kanopi yang berada di belakang resort. Setelah penat, bolehlah manjakan diri di spa pula. Jika tidak mahu terperuk di resort, GUA cadangkan anda ikuti beberapa trip yang disediakan oleh pihak resort. Trip paling unik ialah melawat rumah panjang tradisional masyarakat Iban yang terletak kira-kira 15 kilometer daripada resort. Untuk sampai ke sana anda perlu menaiki bot kira-kira setengah jam. Pasti banyak yang boleh dilihat dan dipelajari daripada trip ini. Selain itu, anda juga boleh ke Air terjun Pudai atau Telaus yang terletak hanya beberapa kilometer dari resort.




Bagaimana ke sana?
Cara paling mudah untuk ke Hilton Batang Ai Longhouse Resort ialah dengan menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh pihak hotel. Tempahan awal diperlukan 24 jam lebih awal. Bas pengantara akan bertolak pada jam 8 pagi setiap hari dari Hilton Kuching. Bagi yang ingin memandu sendiri, anda perlu mengikuti Lebuhraya Pan Borneo dan susur keluar ke persimpangan yang menuju ke Sibu. Dari persimpangan itu, ikuti papan tanda ke Lubok Antu dan perhatikan papan tanda Hilton Batang Ai Longhouse Resort untuk ke jeti hotel. Perjalanan akan mengambil masa kira-kira empat jam. Untuk keterangan lanjut, anda boleh menghubungi Hilton Kuching di 083-584388 atau Tourism Sarawak di 082-246 775 / 246575.

No comments:

Post a Comment

Berita or News Designed by Copyright © 2014

Theme images by blue_baron. Powered by Blogger.