Latest News

Yang Bagus Di Tarbush


Memulakan hujung minggu, GUA dan rakan-rakan bercadang untuk menikmati sesuatu yang berlainan. Kami menuju ke Restoran Tarbush di Sunway Pyramid yang baru sahaja dibuka. Tarbush menyediakan makanan dari negara Republik Lebanon, sebuah negara di Asia Barat yang terletak di sebelah pantai timur Laut Mediterranean, bersempadan dengan negara Syria dan Israel. Kelainan yang ditawarkan Tarbush mengujakan.

Melangkah masuk ke restoran ini, aura Timur Tengah menyambut kami di samping layanan mesra yang diberikan oleh pelayannya. Dekorasi Tarbush lembut dalam gagah. Perabut-perabut restoran ini diperbuat daripada kayu mantap, meja makan berpermukaan jubin digabungkan dengan pencahayaan yang cozy serta dilengkapi dengan lampu-lampu menarik yang dilitupi manik-manik berjurai. Dengan alunan muzik Arab yang mengkhayalkan, kami meneliti menu Tarbush yang menawarkan makanan-makanan asing yang bukan sahaja sukar untuk disebut malah pelik ramuannya.

Untuk mereka yang tidak pandai berbahasa Inggeris, dapatkan bantuan pelayan yang semuanya ramah-ramah dan sentiasa murah dengan senyuman. Yang menarik di Tarbush antaranya ialah Tabouleh, hidangan salad campuran daun sup, tomato, timun, buah zaitun dan jus lemon. Fetush menggabungkan daun salad, tomato, timun dan roti Lebanon yang harganya lebih kurang RM15. Pembuka selera di Tarbush antaranya ialah Baba Ghanoush (masakan terung) dan Labneh (masakan keju cottage pekat yang disempurnakan dengan cebisan daun pudina dan buah zaitun).

Hidangan pembuka selera ditawarkan dalam lingkungan harga RM12 hingga RM18. Hidangan utama yang menarik ialah ikan panggang, Tarbush Mixed Grill yang menghidangkan kebab ayam, Shish Tarook (kebab ayam tiada bertulang) dan kebab daging kambing, hidangan Sizzling Lamb dan Kebab Kash-Kash, hidangan daging kambing dengan tomato panggang. Briyani juga mendapat sambutan ramai dengan pilihan ayam, kambing atau lembu. Harga untuk hidangan utama ialah dalam lingkungan RM28 hingga RM50.

Minuman yang paling digemari di Tarbush menurut pelayannya ialah Mango Lassi, minuman yogurt berperisa mangga yang menyegarkan. GUA mencuba segelas dan tidak menyesal walaupun harganya mencecah RM13 segelas. Untuk hidangan pencuci mulut, puding susu dengan kacang pistachio serta hidangan cream caramel menjadi pilihan. Harga pencuci mulut bermula dari RM8.

Setiap pengunjung akan dihidangkan dengan sepinggan pembuka selera yang terdiri daripada jeruk lobak merah, jeruk timun, tomato, buah zaitun serta roti Lebanon. Untuk kita yang sudah biasa dengan pembuka selera yang lebih membuka selera, hidangan percuma ini tidak memberangsangkan.

Hidangan masakan Lebanon sememangnya bagus dan sihat dengan campuran sayuran, bahan-bahan yang segar serta cara memasak yang tidak menggunakan banyak minyak. Namun, yang paling GUA enjoy ialah suasana cozy di Tarbush. Sekiranya anda berniat untuk santai dengan teman-teman di hujung minggu, restoran ini sesuai untuk dikunjungi kerana persekitarannya yang selesa dan menenangkan. Menurut pelayan Tarbush, tidak lama lagi akan dibuka kawasan anjung outdoor dan akan ditawarkan sedutan sisha! Untuk mencuba sesuatu yang baru, silalah ke Tarbush.

No comments:

Post a Comment

Berita or News Designed by Copyright © 2014

Theme images by blue_baron. Powered by Blogger.