Latest News

Citarasa Kampung Untuk Berbuka


Pejam celik, pejam celik, kini sudah lebih seminggu kita berpuasa. Setakat hari ini sudah berapa lokasi selera yang telah anda kunjungi? Jika masih belum berkesempatan dan mencari-cari tempat yang menawarkan harga yang berpatutan, GUA cadangkan anda singgah ke Saffron Brasserie, Ancasa Hotel, Kuala Lumpur.

Bufet buka puasa di hotel ini hanya berharga RM45++ seorang, jauh lebih murah berbanding hotel-hotel lain. Jika ingin membawa anak-anak bersama, harga yang dikenakan pula cuma RM33++.

Menyajikan hidangan bercitarasa kampung, kafe ini menyediakan lebih daripada 60 jenis hidangan menyelerakan. Semua hidangan ini pula merupakan himpunan makanan daripada semua negeri di Semenanjung Malaysia. Jadi, bayangkanlah betapa meriahnya berbuka puasa di sini.

Jika sudah bertemakan masakan ala kampung, sudah tentu hidangan seperti ulam-ulaman, ikan masin, telur masin, dan pelbagai jenis sambal boleh didapati di sini. Cubalah sambal belacan, sambal tempoyak atau cencalok untuk menambah selera makan anda. Tetapi, sebelum menjamah hidangan nasi dan lauk-pauk, apa kata anda mulakan buka puasa dengan mencuba Sup Tomyam Ayam dahulu. Sungguh membuka selera dan mewah dengan pelbagai jenis sayuran. Selain itu, anda juga boleh menikmati hidangan tauhu bakar, otak-otak, cucur udang, gado-gado ataupun sotong kangkung sebagai hidangan pembuka selera.

Beralih ke hidangan utama, anda boleh memilih beberapa menu nasi yang terdiri daripada Nasi Lemak, Nasi Hujan Panas, Nasi Tomato, Nasi Kacang Dhal, Nasi Minyak dan Nasi Beringin. Semua hidangan nasi ini boleh dikombinasikan bersama lauk-lauk yang terdiri daripada Ayam Madu, Daging Hitam Manis, Dalca Ayam, Ayam Kuzi, Kari Daging, Pajeri Nanas, Daging Kandar dan banyak lagi.

Jika tidak mahu makan nasi, boleh mengambil menu yang lebih ringan seperti Mi Bandung, Asam Laksa, Murtabak, Roti Canai, Apam Balik atau Sate. Hidangan Sate di sini memang popular kerana kuah kacang yang disediakan pekat dan lazat. Kacang yang dikisar tidak terlalu halus atau terlalu kasar.

Setelah menikmati semua hidangan yang digemari dan sekiranya perut anda masih boleh di isi, bolehlah beralih ke kaunter pencuci mulut. Bubur Labu, Pengat Pisang, Bubur Cha-Cha, Tapai Pulut, aneka puding dan kek antara yang boleh dinikmati.

Untuk tempahan dan pertanyaan, sila hubungi talian 03 – 20266060, sambungan 7703.

No comments:

Post a Comment

Berita or News Designed by Copyright © 2014

Theme images by blue_baron. Powered by Blogger.