Latest News

Selera Cik Siti Wan Kembang


Sepanjang Ramadan, pastinya anda sudah merencana juadah yang ingin dicuba. Samada memasak sendiri atau membeli, semuanya haruslah bersederhana agar tidak membazir. Pilih sahaja dari bazaar Ramadan, gerai, restoran mahupun hotel mewah, pasti juadah yang dipesan membangkit selera berbuka.

Memilih restoran berkonsep makanan tradisi menjadi pilihan anak rantau yang merindui masakan tradisi turun temurun. Anak rantau dan penggemar makanan daerah Cik Siti Wan Kembang tentu tidak kecewa apabila berbuka puasa di Kelantan Delights.

Walaupun makanan tradisi Kelantan boleh didapati di sekitar bazaar Ramadan, namun bukan semuanya mudah didapati. Paling ketara, manisan seperti ‘jala mas’ sangat sukar dijumpai di KL tetapi ianya menjadi pilihan makanan tradisi di restoran ini.

Selain ‘jala mas’, banyak lagi manisan tradisi seperti ‘lompat tikam’, ‘telur itik’, ‘pulut ikan masin’, ‘sira pisang’, ‘ketupat sotong’, ‘kuih talam’ serta banyak lagi. ‘Laksam’ dan ‘nasi kerabu’ sukar dipisahkan peminat makanan pantai timur.

Pemilik Kelantan Delights kebiasaannya menyediakan menu ala carte kerana kesegaran dan kepanasan ketika dihidang. Namun, khas Ramadan, restoran ini menyediakan hidangan buffet lebih daripada 100 jenis makanan.

Harga buffet RM38 untuk dewasa dan RM20 untuk kanak-kanak bawah 12 tahun cukup berbaloi. Specialty Kelantan Delights adalah ‘tomyam kelapa muda’. Cara menyediakan menu istimewa ini adalah dengan membakar kelapa muda dan airnya dibuat kuah tom yam, selepas dimasak, tomyam akan dihidangkan didalam kelapa muda tadi.

Selain makanan Kelantan, banyak pilihan makanan selatan Thai di sini. Belut goreng cili kering patut dicuba kerana ianya bukan sahaja sedap, malah hidangan ini sangat sihat dimakan.

Terliur melihat pelbagai jenis kerabu yang ada di sini. Dari kerabu mangga hingga kerabu perut, semuanya enak belaka. Begitu juga ikan pari dan terubuk bakar yang membuka selera sesiapa sahaja.

Sepanjang sebulan berpuasa, buffet Ramadan Kelantan Delights akan menukar menunya setiap 10 hari.

Kelantan Delights terletak di 1-5, Level 1, Sooka Sentral, Jalan Sentral, KL. Mudah dikunjungi kerana lokasinya bersebelahan KL Sentral.

No comments:

Post a Comment

Berita or News Designed by Copyright © 2014

Theme images by blue_baron. Powered by Blogger.